Assalamualaikum.

sedikit bahan bacaan berkenaan dengan hari asyura:

Pensyarah Syariah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Selangor, Mohammad Nidzam Abd. Kadir menjelaskan, ada sedikit kealpaan apabila kita melupakan suatu sunah yang baik untuk diamalkan iaitu berpuasa pada hari Asyura.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. disebut maksudnya:
Puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun sebelumnya dan setahun selepasnya, dan puasa hari Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Abu Daud).

Kenapa hari Asyura kurang kelebihannya berbanding hari Arafah? Jelas Mohammad Nidzam, hikmahnya mungkin berbalik kepada asal ibadat. Ini kerana hari Arafah berkait langsung dengan ibadat haji di mana wukuf di Arafah adalah rukun haji yang paling utama. Oleh itu puasa pada hari Arafah khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w..

Puasa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s. “Peristiwa Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s., Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

“Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh. Selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Mungkin ada sumbernya mungkin juga tidak ada. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh,” katanya menerangkan tentang peristiwa di sebalik hari Asyura.

Tambah beliau, puasa hari Asyura adalah sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).

Selain itu, ujar Mohammad Nidzam, elok juga jika dapat berpuasa pada hari sembilan Muharam atau disebut hari Tasua'. Sabda Nabi s.a.w., Jika aku hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari sembilan dan 10 Muharam. (Riwayat Ibnu Majah).

“Hikmahnya mungkin bagi menyalahi perjalanan orang Yahudi yang memuliakan hari 10 Muharam sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Maka umat Islam digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam di samping 10 Muharam.

Dipetik dari: Bicara Agama, Utusan Malaysia: arkib 16 Januari 2007.

Hari Asyura pada tahun ini jatuh pada Ahad, 27 Disember 2009. Tanam azam, semoga kita sama-sama dapat melakukan ibadat sunat ini, insyaAllah.


..bliss-ailye shared her feelings at 1115..